SERV tawarkan peluang pelaburan di platformnya menerusi pendanaan awam ekuiti
February 8, 2021
News

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 4 Feb — SERV, aplikasi mudah alih bagi penyelesaian penyelenggaraan kereta tempatan menawarkan peluang kepada pemilik perniagaan kecil dan orang awam untuk melabur dalam platform digitalnya menerusi pendanaan awam ekuiti.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Arief Imran berkata syarikat itu berhasrat meraih dana ekuiti sehingga RM2 juta dengan menyediakan penyelesaian kepada peruncit dan pelabur kecil untuk menjadi sebahagian daripada syarikat itu.

Beliau berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan laluan pembangunan yang progresif kepada syarikat berasaskan Internet di Malaysia serta peluang lain kepada mereka yang ingin melabur dalam kemajuan teknologi tempatan.

“SERV komited untuk memberikan rakyat Malaysia mendigitalkan pemilikan kenderaan dan meningkatkan industri automotif di rantau ini.

“Pada masa ini kami dalam pusingan untuk mengumpulkan dana dengan pitchIN sehingga 15 Feb untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyokong ekosistem digital tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Arief berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac 2020, SERV menyaksikan peningkatan sebanyak 4,000 pengguna baharu untuk meraih sejumlah 12,000 pengguna pada Januari, di platform itu.

“Dari segi jumlah peniaga yang berdaftar dengan platform kami sejak PKP, kami mendapati lebih 300 peniaga baharu menggunakan perkhidmatan ini, (sekali gus) menjadikan lebih 500 peniaga berdaftar dengan kami, sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, untuk 2021, platform itu berhasrat meningkatkan jumlah penggunanya kepada 100,000 kenderaan berdaftar dan 2,000 peniaga berdaftar.

“Syarikat ini juga mahu meneroka peluang perniagaan di Indonesia menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya.

— BERNAMA